10/08/2025
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) telah memuktamadkan beberapa keputusan penting berkaitan penganjuran Temasya SUKMA 2026 yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Dua sukan, iaitu tinju dan sofbol, telah dipilih sebagai dua sukan wajib tambahan untuk SUKMA berkuatkuasa dengan temasya di Selangor pada 2026. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kepada 30 jenis sukan.
Selain itu, empat (4) sukan tambahan diluluskan untuk SUKMA 2026, menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan. Lima sukan tambahan tersebut ialah :
• Catur
• E-Sukan
• Kriket
• Kabaddi
Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan, bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri.
Dalam pada itu, isu kekurangan penyertaan atlet wanita dan pegawai teknikal wanita dalam temasya SUKMA 2024 di Sarawak telah mendapat perhatian serius dan beberapa cadangan telah dikemukakan serta dipersetujui oleh semua pihak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam usaha menangani perkara tersebut.
Antara pendekatan yang akan dilaksanakan ialah:
• Penganjuran 3 kursus teknikal & kejurulatihan wanita pada tahun 2025 dan 5 kursus lagi pada tahun 2026.
• Setiap kontinjen negeri wajib melantik sekurang-kurangnya seorang Ketua atau Timbalan Ketua Kontinjen wanita.
• Pelaksanaan kuota minimum 20% pegawai sokongan wanita dalam urusetia dan perubatan kontinjen.
• Sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 30% sukarelawan wanita dan 20% pegawai teknikal wanita.
• Setiap pasukan wanita atau acara yang memerlukan pemeriksaan fizikal wajib mendaftarkan sekurang-kurangnya seorang pegawai wanita.
Bagi acara terbuka, penyertaan atlet daripada jantina berbeza akan diwajibkan. Selain itu, acara sukan yang tersenarai dalam Sukan Olimpik akan tetap dijalankan walaupun tidak mencapai penyertaan minimum atlet wanita, berbeza daripada peraturan terdahulu.
Mesyuarat hari ini turut meluluskan penyertaan rasmi Kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam SUKMA 2026. Jenis dan jumlah sukan yang akan disertai akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.
Terdahulu, pada Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri yang diadakan sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA hari ini telah bersetuju bermula edisi 2026, penyertaan negeri ke Sukan Para SUKMA akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.
Langkah ini bertujuan memperkemas pengurusan bakat dan persiapan atlet para di peringkat negeri secara lebih strategik dan berfokus.
** Silambam:
Selangor selaku tuan rumah telah membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Sukan Silambam sebagai sukan tambahan berdasarkan Peraturan Tetap Perkara 12.3 : Negeri-negeri termasuk tuan rumah masih boleh mencadangkan lain-lain jenis sukan untuk penganjuran tahun semasa namun perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pengelolaan temasya.
Antara sebab tidak dipilih oleh oleh tuan rumah Selangor adalah kerana Sukan Silambam tidak dipertandingkan dalam mana-mana Temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Sukan-sukan yang dipilih dipertandingkan diperingkat temasya sukan utama yang di senaraikan.
Sukan yang dipertandingkan di Sukan Malaysia adalah universal walaupun kadangkala di dominasi oleh kaum tertentu namun ada sahaja sukan seperti wushu yang mempunyai atlet dikalangan kaum melayu. Isu berkaitan sukan yang terpilih memingirkan kaum tertentu adalah tidak benar memandangkan sukan seperti karate, kabbadi dan olahraga diwakili oleh ramai atlet dari kaum india. Seramai 654 orang atlet india atau 8.34% telah mewakili negeri pada Temasya Sukan Malaysia 2024 di Sarawak.